SEJELITA DI HATI

INSAN BIASA Mengharapkan bahagia menumpahkan ilham yang dipinjamkan TUHAN di dada siber.

Isnin, Ogos 18, 2008

Karyaku

JODOH ABANG

Oleh Hanisah Othman


IBUKU rajuk. Rajuknya tidak boleh ditahan. Rajuk yang bersungguh-sungguh. Abang yang selama ini sering dipuji dan dipuja menjadi duri di hatinya. Dari Kedah ke Kuala Lumpur bukan calang-calang nekadnya membawa diri sejauh ini. Ke rumahku dia membawa beg besar walaupun selama ini dia cukup culas hendak datang apatah lagi untuk tinggal berlama-lama di sini. Dia datang secara mengejut dan menelefonku pada waktu hening pagi setelah dia berada di dalam perut bas.


Dari pagi, sejak sampai, dia diam dan murung. Tidak banyak yang diperkatakan. Paling tidak pun dia merungut tentang sikap abangku yang didakwanya sudah berubah. Berubah? Apa yang berubahnya. Abangku tidak pernah berubah. Dari remaja meningkat ke dewasa, abangku tidak berubah. Masih diam membatu tidak banyak bercakap. Membeku dingin dengan gadis atau wanita. Menggeleng enggan apabila disogokkan dengan calon jodohnya. Paling tidakpun dia tersengih dan ketawa memperlekehkan harapan kami, lalu berlalu pergi. Abangku seakan-akan tidak mahu berkahwin, sampai masalah itu memeningkan kepala ibu. Ibu pun sudah jemu berharap abang berkahwin.
“Ibu, abang tahukah ibu datang ke sini?” Aku sesungguhnya bimbang abang tercari-cari ibu. Kalau tidak silap, ibu ada mengatakan dia keluar dari rumah tanpa pengetahuan sesiapa.
“Apa kau tidak suka ibu datang ke rumah kau? Kalau tidak suka, ibu akan pergi hari ini juga.” Ibu tidak pula menjawab pertanyaanku, sebaliknya dia membuat ugutan serupa orang berjauh hati. Ah, ibu sungguh-sungguh sensitif kali ini.
“Allah, takkanlah Shimah tak suka ibu datang. Shimah lagi suka kalau ibu mahu tinggal di sini terus. Budak-budak tu tentu lebih seronok.” Aku merendahkan suara dan memainkan nada mendayu agar hati ibu yang beralun gelombang diamuk emosi itu dapat diredakan. Ibuku diam dan wajahnya masih murung masam.
“Abang benarkan ibu tinggal lama di sinikah?” Aku sengaja pula mencipta pertanyaan begitu untuk meneka apa punca rajuk dan marah ibu terhadap abang. Jika aku bertanya sambil mendesak, bimbang pula kemarahannya akan bertambah. Atau ibu menjadi lebih sensitif.
“Huh, abang kau lagi suka kalau aku mati, agaknya!” Aku agak terkejut dengan jawapan itu. Ternyata kemarahan ibu terhadap abang bukan mainan.
“Abang hantar ibu ke stesyen bas malam tadi?” Aku terus memancing. Bukan aku tidak tahu, setiap kali ibu datang dengan bas ke Kuala Lumpur, abanglah yang akan hantar. Abang juga akan memaklumkan kepadaku dan dia akan menefon berkali-kali sehinggalah ibu selamat berada di rumahku. Begitulah abang yang terlalu mengambil berat pada ibu. Pada kami sekeluarga juga.
“Aku datang sendiri. Aku naik teksi sendiri ke Sahab Perdana. Aku ambil tiket dan naik bas sendiri. Abang kau tak ambil tahu pun hal aku!” Ah, ini pasti ada yang tidak kena. Takkanlah abang sanggup biarkan ibu buat ini semua sendiri. Pasti ada sesuatu yang berlaku di kampung. Dan aku yakin, abang pasti terkejut dan bimbang melihat ibu sudah hilang dari rumah.
“Abang tidak tahulah ibu datang ke sini?” Aku meneka sambil mengawasi riak wajah ibu. Bimbang juga dia fikir aku tidak mahu dia berada di sini. Emosinya yang terganggu akan membuat spekulasi yang bermacam-macam.
“Tak payah kau beritahu apa-apa pada abang kau. Biar apa pun terjadi, biar dia tidak tahu tentang diriku. Biar aku matipun, tidak payah diberitahu padanya. Dia sudah berubah!”
Aku menggeleng kepala. Tidak mengerti dengan sikap ibu yang tiba-tiba datang macam ombak Tsunami. Macam Taufan Wilma yang melanda apa sahaja.
“Tok! Tok sampai bila?” Anak sulungku berumur lapan tahun turun dari bilik bersama adiknya yang darjah satu. Dalam kehairanan pagi itu, mereka yang sudah siap berpakaian sekolah menyalami ibu penuh hormat.
“Baru sampai pagi ini.” Mendatar. Tidak seperti selalu. Dia berbesar hati melayan tiga orang anakku yang semuanya lelaki.
Anak sulungku yang dapat mencium perubahan emosi toknya, mengerut dahi memandangku sambil mengisyaratkan persoalan tentang kedatangan dan kelainan sikap ibu. Aku hanya senyum dan mengisyaratkan supaya anakku tidak ambil pusing hal toknya.
“Sayang ambil cuti hari ini?” Suamiku yang sudah siap berpakaian ke pejabat bersedia untuk bersarapan. Aku masih berpakaian biasa. Aku memaklumkan bahawa aku akan menefon pejabatku sekejap lagi untuk memohon cuti kecemasan.
“Aku bukan budak kecil. Kau semua nak kerja, pergilah. Aku tahu jaga diri. Lagipun, Rubiah ni ada.” Ibu berkata kepadaku. Dia seakan-akan tidak mahu dianggap orang yang suka menyusahkan orang lain.
“Tak apalah, ibu. Lagipun kerja di pejabat tu tidaklah banyak mana sangat sekarang ini. Ibu kan baru sampai. Bukan senang dapat jumpa ibu. Sekarang ibu dah ada, bolehlah kita berbual panjang.” Aku seakan membujuk ibu agar tidak bersangka buruk terhadap kami sekeluarga.
“Ibu tak makan?” suamiku sekadar menegur. Dia agak formal dengan ibu.
“Makanlah...!” bunyinya macam orang yang masih merajuk.
Suamiku memandangku. Mata kami berinteraksi tentang mud ibu yang masih tidak stabil. Suamiku, anak jati Kuala Lumpur itu sememangnya tidak pandai bersembang dengan ibu dari dulu lagi. Katanya, telor Kedah ibu terlalu pekat. Tanpa banyak bicara dia terus menikmati sarapan yang disediakan olehku dan Kak Rubiah, pembantu rumahku.
“Kau jangan beritahu abang kau. Biar dia tidak tahu aku di sini. Dia pun bukan suka aku ada di sana dengannya.” Ibu mengingatkan aku ketika aku baru membuka langkah.
Niatku yang memang mahu menelefon abang, tidak jadi kuteruskan. Sungguhpun aku tidak setuju dengan keputusan dan tindakan itu, aku tidak berani membantah. Aku tahu, tentu ada sebabnya ibu jadi begitu. Abang anak yang paling disayangi. Anak yang disebut dan disanjung sepanjang masa, takkan ibu benci begitu sahaja. Antara kami berempat beradik, abanglah yang paling mendapat tempat di hati ibu. Putih kata abang, putihlah jawapan ibu. Keputusan abang, keputusannya. Abang ketua keluarga semenjak ayah meninggal sewaktu usiaku menginjak remaja lagi. Abanglah yang menjadi tangan kanan ibu dalam menyara keluarga sampai semua adik-adiknya masuk universiti. Tidak hairanlah abang sangat disayangi.
“Apa masalahnya ibu. Cuba ibu beritahu apa yang abang sudah lakukan.” Aku terus membujuk. Apalah kesalahan besar yang abang lakukan sehingga ibu marah benar dan merajuk sejauh ini.
“Abang kau nak kahwin.” Meluncur jawapan ibu. Aku ternganga. Antara rasa tidak percaya dan hairan dengan sikap ibu yang seakan tidak suka abang berkahwin, aku meneka persoalan. Aneh! Selalunya, ibu yang mendesak. Kini, abang sudah mahu berkahwin, dia macam marah pula.
“Dengan siapa?” Aku pura-pura tidak faham ada masalah yang ujud di sebalik isu abang nak kahwin itu. Memancing riak ibu yang sudah menunjukkan emosi marah yang bergelombang, aku yang kebingungan masih mampu berlakon tenang.
“Dengan calon pilihannya itu, aku tidak setuju langsung! Biar aku hilang anak dari bermenantukan dia.” Ibu tiba-tiba keras beremosi. Gerun aku mendengarnya.
“Siapa?” Aku ingin tahu, siapalah yang telah membuka pintu hati abang.
“Agaknya dia sudah terkena ubat guna-guna! Sudah buta mata agaknya dia.” Ibu masih marah. Benar-benar tidak setuju jika abang masih mahu meneruskan niat.
Ibu terus enggan meneruskan kata-kata. Dalam bingung itu, aku membiarkan ibu menangis tanpa gangguan. Biarlah dia meredakan perasaannya dahulu. Pasti ada sebab ibu bersikap begitu. Tanpa ibu tahu, aku sudah merangka untuk menelefon Pak Long dan Mak teh yang tinggal berdekatan dengan rumah kami. Tentu mereka tahu apa kisahnya. Kalau aku menelefon abang, aku tidak dapat cerita yang betul. Biar aku selidik dari sumber yang boleh aku percayai. Kemudian, barulah aku hubungi abang untuk mendapatkan reaksi darinya pula.
“Shima, ibu kau hilang entah ke mana. Puas kami cari. Abang kau macam orang gila ke sana sini sejak pagi tadi.” Mak Teh yang selalu kuhubungi bertanya khabar terus mengabarkan berita gempar itu. Katanya, dia baru berkira-kira hendak menelefonku.
Kemudian, aku menenangkan Mak Teh dengan mengatakan ibu ada bersamaku. Dan aku tidak mahu Mak Teh kecoh-kecoh dahulu. Aku mahu tahu kisah sebenar dari versi Mak Teh sebelum aku bertanya pula cerita dari mulut abang. Mak Teh kelegaan mengetahui ibu selamat di rumahku tetapi dia bimbang orang di sana sedang kecoh perihal ibuku hilang.
“Begini....” susah benar Mak Teh mahu berterus terang denganku. Macamlah perkara yang mahu disampaikan itu terlalu sulit.
“Abang kau nak kahwin....” Mak Teh memberitahuku tentang hasrat abang yang sudah kuketahui dari mulut ibu.
“Nak kahwin, baguslah.” Begitu simpulku sambil benakku tertanya-tanya apa masalahnya tentang isu abang hendak berkahwin. Orang tak hendak kahwin disuruh-suruh. Orang hendak kahwin, jadi masalah pula!
“Masalahnya, pilihannya itu... Alah, orang di sini juga. Kau pun kenal dia.” Mak Teh seakan tidak bersetuju dengan pilihan abang.
Ah, siapapun pilihan abang, terima sahajalah. Hatinya sudah terbuka hendak berkahwin. Mudah sahaja hati aku membuat pemutusan. Mengapa ibu tidak setuju?!
“Kau tak tahu, sebelum abang kau pilih dia dulu, selalu dia bertandang hantar kueh, lauk. Tup-tup, abang kau tergila-gilakannya mahu kahwin dengan dia. Kau boleh percayakah?!” Mak Teh bercakap dengan nada perlahan tetapi suaranya ditekankan agar aku terpengaruh dengan pendapatnya.
Baguslah dapat menantu yang rajin memasak. Senanglah ibu. Tak payahlah lagi ibu sibuk memasak tiap hari untuk abang. Dapatlah membantu ibu di dapur.
“Heh, entah-entah dia sudah guna-gunakan abang kau tu! Abang kau pun bukan main lagi mempertahankan perempuan itu bila ibu kau kata perempuan itu berbaik-baik selama ini, punya maksud yang serong.” Mak Teh nampaknya amat menyebelahi ibu.
Serong apa benda pula. Tak baik menuduh orang yang bukan-bukan.
“Kalau tidak takkanlah abang kau hendakkan dia. Sampai bertengkar-tengkar dengan ibu kau membela perempuan itu!”
Aku terkejut. Setahuku, abang tidak pernah meninggikan suara dengan ibu. Mengapa pula kali ini abang sanggup melawan cakap ibu? Aku mula terpengaruh dengan cakap Mak Teh.
“Dulu tidak ada apa-apa perasaan pun. Sekarang ini tiba-tiba sahaja abang kau cakap hendak kahwin dengan dia. Dah terkena dengan perempuan itulah! Tak sedar diri betul perempuan tu. Gatal miang!” Mak Teh pun tak suka abang berkahwin!? Hairan sungguh aku ini.
“Mak Teh, siapa calon pilihan abang yang ibu tidak berkenan benar tu?” Hatiku tergaru-garu ingin tahu calon menantu yang dibenci ibu dan Mak Teh.
“Miah, janda beranak enam itulah!”
Hah?! Aku terkedu. Calon pilihan abang benar-benar di luar dugaanku. Kak Miah jiran kami yang berselang tidak sampai sepuluh buah rumah. Sudah dua belas tahun Kak Miah itu kematian suami. Walaupun umurnya sudah empat puluh lima tahun, dia masih kelihatan kemas bergaya. Anak-anaknya sudah besar-besar. Anak perempuannya yang sulung sudah berkahwin dan ada dua anak. Setahu aku, ramai yang berkenankan Kak Miah itu. Ibuku sendiri pernah merisiknya untuk bapa saudara pupu kami yang ketika itu baru menduda kira-kira sepuluh tahun lalu. Kak Miah pernah memberitahu prinsipnya mahu bersendirian membela anak-anak sehingga dewasa. Kini, anaknya yang bersekolah hanya tinggal dua orang. Empat anaknya sudah berdikari dan dapat memberi sumbangan padanya pula. Ah, tidakku sangka, orang yang kuanggap seperti ibu saudara sendiri boleh menjadi pilihan abangku. Beza umur mereka hampir sepuluh tahun! Ah, patutlah ibu marah. Patutlah ibu tidak berkenan.
Abang masih teruna walaupun umurnya sudah tiga puluh tujuh tahun. Dari remaja lagi abangku menjadi buruan gadis-gadis di sekolah dan kampung. Kawan-kawanku juga selalu berkirim salam pada abangku. Tidak sedikit yang menitipkan surat cinta buat abang, namun abangku tidak pernah membalas apalagi menyambut cinta mereka. Abangku amat pendiam dan pemalu. Itu yang menjadikannya idaman di kampungku. Lagi pula, abangku rajin menolong orang di setiap kenduri-kendara. Ramai yang teringin abang jadi calon menantu.
Tiba-tiba sahaja abang mahu berkahwin dengan Kak Miah yang lebih tua darinya. Janda pula! Takkan ibu boleh terima menantu yang hanya muda tidak sampai sepuluh tahun? Ah, abang benar-benar rabun. Agaknya, betullah dia sudah terkena ubat guna-guna. Kalau tidak takkanlah dia yang masih lagi muda sasa hendakkan Kak Miah yang tua itu. Selama ini aku tidak percaya benda-benda karut begini. Tetapi, setelah abang sendiri sudah berubah seratus lapan puluh darjah, akupun mula meragui kewarasan abangku.
Aku menelefon Pak Long. Tujuanku untuk memberitahu tentang ibu yang berada di sini. Aku juga inginkan penjelasan Pak Long tentang kes abangku. Aku pasti, abangku ini perlu dibawa berubat. Adakah patut gila angau pada seorang janda kampung yang sudah tua dan beranak enam. Abangku lebih layak berkahwin dengan anak perempuan Kak Miah kalaulah budak itu belum berkahwin kira-kira tiga tahun lepas. Ibuku pernah mencalonkannya untuk abang tapi abang menolak mentah-mentah.
“Apa mak kau cakap?” Nada suara Pak Long yang kedengaran lega setelah tahu ibuku datang ke rumahku, juga ingin tahu perasaan ibu terhadap kes abangku.
Aku pun meminta Pak Long berikhtiar untuk memulihkan abang. Aku pasti anggapan ibu benar. Kalau tidak, takkanlah abang sanggup bergaduh dengan ibu semata-mata kerana hendakkan Kak Miah.
“Apa nak buat. Dah suka sama suka. Kahwinlah!” Pak Long pula macam tak kisah sahaja anak saudaranya dapat isteri yang tua sepuluh tahun. Janda pula tu!
Aku tidak setuju dengan pendapat Pak Long. Bukankah Kak Miah itu lebih layak berkahwin dengan orang sebaya Pak Long sahaja. Bukan tiada yang masuk meminang. Ramai.
“Shimah, soal nikah kahwin ni, bukan boleh dibuat main-main. Pak Long tahu kau tidak setuju. Tetapi, itulah pilihan abang kau. Sudah sampai jodohnya. Lagipun Miah tu pun bukanlah tua sangat, masih lawa lagi. Masih boleh beranak kalau dia berkahwin sekarang.” Pak Long sebaliknya menasihatkan aku agar membuka peluang pada abang. Kata Pak Long, Tuhan sudah membuka hati abang pada Kak Miah. Kita sepatutnya bersyukur abang sudah terbuka hati mahu berkahwin. Aku hairan dengan sikap Pak Long. Hai, Pak Long ini pun sudah terkena imbasan ubat guna-guna Kak Miah jugakah?
“Cakaplah pada ibu kau. Tak baik menuduh orang yang bukan-bukan. Pak Long tahu ibu kau sukar nak percaya pilihan abang. Tetapi, Pak Long kenal sangat abang kau itu. Dia bukan budak-budak lagi. Dia dah boleh menilai. Bukan sehari dua dia kenal Si Miah tu. Pak Long tahu mengapa dia suka sangat dengan Si Miah tu.” Pak Long macam tahu banyak benar rahsia abang. Hai, jangan-jangan Pak Long pun ada hati dengan Kak Miah tu!
“Miah tu ada wawasan. Dia orang yang bijak. Pandai cari wang. Tak rugi abang kau berjodoh dengannya. Lagipun, abang kau tentu dah masak benar sikap Si Miah tu sejak menjadi rakan bisnes lebih setahun lalu.”
Aku teringat abangku memang ada bekerja-sama dengan Kak Miah. Kak Miah membuka salun urutan badan, mandi wap herba dan menghasilkan jamu herba untuk wanita. Abangku yang dahulunya membuat kerja-kerja kampung, kini sudah menjadi pembekal akar-akar kayu, daun-daun hutan dan kulit-kulit kayu hutan kepada pengusaha-penguasaha herba tradisional. Abangku jugalah yang membawa herba dan makjun buatan Kak Miah ke Alor Setar termasuklah di Kompleks Pekan Rabu untuk dipasarkan. Agaknya, dari situlah kononnya dia dan Kak Miah mula rapat.
“Sudahlah, Shimah. Janganlah kita berburuk sangka lagi. Pujuklah ibumu pulang ke kampung. Abangkau pun dah sedar salah dia. Kalau ibu kau tak suka, tak payahlah abang kau kahwin. Biar dia membujang sampai ke tua.” Kata-kata Pak Long itu membeduk fikiranku yang dikawal emosi. Barulah aku terfikir yang jodoh abang bukan terletak di tangan Pak Long, ibu atau aku. Kalau Kak Miah itulah jodoh abang, Tuhan akan melorongkan jalannya.
Sebentar kemudian, telefon rumahku berdering. Aku angkat. Bercakap. Aku menyuakan gagang pada ibu yang kebetulan berada berdekatan situ. Ibu pada mulanya enggan, akhirnya menyambut separuh rela. Dia banyak berdiam dari bercakap memberi respon. Hanya sepatah dua sahaja ayatnya. Aku menjeling mencari riak wajahnya. Marahnya kelihatan mula mengendur. Agaknya, abang sedang memujuk dan merayunya pulang. Ibu kelihatan tenang sambil menyeka air matanya dengan sapu tangan. Dalam pada itu, dia tersenyum sendiri sedang bibirnya menyebik-nyebik macam budak kecil menangis dipujuk dengan aiskrim. Nampaknya ibu sudah memaafkan abang dan menerima kata-kata abang. Hati ibu sudah lembut terpujuk. Ibu tidak banyak membantah. Aku terasa lucu pula dengan sikapnya.
Petang itu juga abang tiba dengan kereta. Dia mahu menjemput ibu pulang.
“Ibu jangan bimbang. Man akan terus jaga ibu. Kalau ibu tak izinkan, tak payahlah Man kahwin. Man hanya mahu restu dari ibu. Kalau ibu tidak suka, Man tak mahu paksa.”
Ibu masih diam tanpa respon positif akan ucapan abang yang menyentuh hati itu.
“Syurga Man di bawah tapak kaki ibu. Man boleh cari isteri lain, tapi Man tak boleh cari ibu lain. Marilah ikut Man balik. Man tak mahu ibu jauh hati kerana sikap Man yang degil semalam.” Sekali lagi abang mencium tangan ibu. Ibu nampak terharu. Dia menyentuh kepala abang. Abang terus memeluk dan mencium wajah ibu. Ibu terus menangis. Aku turut terharu.
“Ibu setujukah abang kahwin dengan Kak Miah?” sengaja aku memancing hatinya ketika dia bersiap-siap mahu pulang malam itu. Ibu menjelingku macam tidak suka pertanyaanku. Aku tersenyum mengusik.
“Kalau dah dia suka, apa nak kata...” selamba sahaja ibu berkata.
Abang tersenyum senang. Aku mencebik mengejek, menghantar senyum dan isyarat nakal mengusik abang.

1 ulasan:

  1. biar pun ringkas tetapi bertenaga....cerpen yang tidak membosankan....teruskan usaha gigihmu dalam berkarya.....asahkan mindamu, tajamkan mindamu , perhalusi mindamu berterusan.....tanpa noktah!

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...