JIRAN BERKEMBAROleh Noor Hanisah Othman
JIRAN adalah waris yang paling utama. Lebih utama daripada saudara-maramu walaupun dia seorang kafir. Akan tetapi, pernahkah kita bertanya pada diri sendiri, sejauh manakah kita rapat dengan jiran?
Sesungguhnya, zaman ini orang sentiasa berada dalam lingkungan hidup yang tertutup. Individuistik. Sentiasa! Bagaimana kalau di kawasan kejiranan yang rata-ratanya orang biasa berpendapatan rendah dan pekerja bawahan sepertiku?
Semasa aku mula-mula berkahwin dahulu, aku dan isteri menyewa di rumah kecil berbilik satu. Rumah separuh papan dan batu. Rumah kami berkembar dengan Kak Yah. Kak Yah ini amat rajin orangnya. Suaminya, Ajis seorang pemandu lori. Ajis selalu saja bekerja di luar stesyen. Kami jarang-jarang bertemu dan berbual. Anak mereka empat. Semuanya lelaki dari yang berumur lima ke empat belas tahun.
Isteriku sering mendesak supaya mencari rumah yang lain kerana rumah itu terlalu sempit, dakwanya. Sudahlah banyak anai-anai dan tikus. Dindingnya kayu dan ada bahagian-bahagian tertentu yang sudah reput. Paling tidak menyenangkan ialah dinding pemisah rumah aku dan Kak Yah. Ia hanyalah sekeping papan lapis Segala aktiviti di dalam rumahku dan rumah Kak Yah seolah-olah tiada rahsia. Kak Yah sering bergaduh dengan suaminya yang didakwanya curang. Pertengkaran mempalitkan makna yang kurang enak pada kami juga. Sebagai suri sepenuh masa, isteriku terpaksa mendengar segalanya dari sebelah. Itu belum lagi hal wang ringgit Kak Yah yang sering sahaja tidak cukup. Wang dapur keluargaku menjadi sasaran harapan Kak Yah. Bukanlah aku dan isteriku tidak suka membantu. Tetapi, prinsip ‘hulurkan tangan ringankan beban’ sudah bertukar menjadi ‘tidak cukup batu, biawak hidup yang digalaskan ke bahu kami’.
“Bang, sampai bila kita nak tinggal di situ?” suatu hari isteriku mengajak aku ke luar untuk berbincang hal ini. Dia tidak selesa untuk berbual di rumah. Ah, berpindah rumah bermakna wang, tenaga dan masa. “Ani faham abang kurang senang hendak berpindah. Tetapi, abang cubalah berfikir untuk anak kita yang ini…” isteriku mengisyaratkan jari telunjuknya ke perut.
Tidak lama lagi anak keduaku akan menyusul. Aku pun menyorot pandang keadaan rumah kami yang sempit itu. Bagaimana anak-anakku mahu bermain. Isteriku sering menyatakan yang dia tidak mahu anak-anak kami menerima nasib yang sama dengan anak-anak Kak Yah. Pada waktu malam, mereka terpaksa tidur di ruang tamu yang sempit.
Akhirnya kami berpindah juga. Rumah batu berkembar di atas bukit. Satu kawasan perumahan yang agak jauh dari jalanraya. Lot tanah seekar seorang peguam itu ada sembilan pasang rumah berkembar. Rumahnya selesa walaupun berbilik dua sahaja. Kedudukan antara rumah kembar seterusnya hanya berjarak lima meter antara satu sama lain. Dua baris dan tiada berpagar. Jiran-jiran agak peramah. Kebetulan dua di antara jiran di situ menegur dan membantu kami mengangkat barang. Satu keluarga itu siap mengajak kami makan tengahari. Nampaknya hidup kami akan lebih tenang di sini. Isteriku amat bersyukur dengan gambaran pertama ini. Pasti hari-hari seterusnya bakal membawa keceriaan.
Sebulan dua dan tiga, isteriku tidak merungut apa-apa. Aku sering sahaja pulang lewat malam. Aku bekerja lebih masa untuk mengumpul wang demi menyambut satu lagi warga keluargaku. Lagipun aku perlu melangsaikan hutangku pada syarikat. Aku telah membuat pinjaman awal untuk proses perpindahan rumah.
“Si Gayah tu, setiap kali saya keluar rumah untuk menyidai baju atau ambil angin kat luar, dia cepat-cepat masuk ke rumah. Macamlah saya ni ada buat salah pada dia.” Ah, isteriku amat sensitif akhir-akhir ini. Mungkin juga sebab ‘pembawaan budak’. Kurang lebih sebulan lagi dia bakal melahirkan bayi kami.
“Sabarlah… mungkin dia ada masalah tu…” Aku memujuk sambil meraih tubuhnya ke dalam pelukanku. Harapanku, isteriku tenang dan membuang jauh-jauh perasaan gusarnya itu kerana emosi seorang ibu akan mepengaruhi ‘temperanment’ kandungan. Aku tak mahu anakku nanti asyik kesedihan sahaja. Mungkin juga apa yang berlaku ada kaitan dengan peristiwa sebulan lepas…
Aku terkejut jaga dari tidur yang asyik. Pukul 4 pagi itu aku (terdengar) riuh rendah di sebelah kembar rumah kami. Ada pertengkaran. Aku menelinga terus. Isteriku tidur senyenyak-nyenyaknya.
“Ah, kalau aku tak nak keluar, hang boleh buat apa?! Hang boleh bunuh aku ke!” Aku terdengar dengan jelas jiranku membalas.
Suara yang seorang lagi, dapat kukenal pasti - tuan rumah. Agak lama juga mereka bertengkar. Akhirnya diam setelah aku terdengar deruman kereta pergi meninggalkan halaman rumah. Agaknya tuan rumah sudah berlalu.
Selang beberapa hari, tuan rumah datang memungut wang sewaan. Semasa tuan rumah si peguam itu tiba di rumah kami, isteriku kebetulan menghidangkan jemput-jemput pisang bersama kopi o panas. Aku mempelawa dia masuk ke dalam rumah dan minum bersama. Dia menerima pelawaanku. Agak lama juga kami berbual tentang hal-hal kerja dan semasa. Tidak ada hal peribadi yang disentuh. Selepas itu tuan rumah terus pulang setelah bercakap sekejap dengan Gayah, isteri jiranku.
“Dah lama ke hang kenal dia?” Hamid jiranku bertanya dari muka pintunya. Agaknya dia kurang senang aku berbaik-baik dengan tuan rumah. Jelas sekali nada kebencian itu.
“Tak adalah. Baru saja setahun lepas. Kami kenal pun atas hal-hal kerja.” Aku cuba menyeimbangkan respon agar tidak ketara membela tuan rumah itu ataupun menghukum sikap pesimis Hamid.
Agaknya dia baru bangun tidur. Selalu aku bertembung dengannya yang baru keluar rumah ketika aku pulang dari kerja malam. Katanya ‘pergi kerja’ apabila aku menyapanya mula-mula dulu. Bukan tujuanku untuk menyibuk akan halnya. Kata jiran lain di situ, dia jadi ‘bodyguard’ di kelab malam. Lewat pagi baru pulang. Itupun kalau tiada aktiviti sampingan lain - main judi. Khabarnya sudah beribu-ribu dia pinjam wang ‘Ahlong’.
“Hang jaga sikit dengan peguam gatal tu. Si Gayah inipun dia nak ngurat!” Hamid mengingatkan aku sambil mengerling isterinya. Memanglah isterinya masih muda dan cantik. Malahan seksinya boleh kalah anak dara! Aku tersengih menerima nasihatnya. Sebetulnya aku tidak mahu menggugat hubunganku dengannya walaupun aku meragui dakwaannya.
Sudah seminggu aku tinggal sendirian. Dua minggu lepas isteriku selamat bersalin. Aku menghantarnya pulang ke Kelantan. Ibu mertuaku akan menjaganya dengan lebih sempurna. Aku mengambil peluang untuk bekerja lebih masa.
Aku masuk ke rumahku. Dalam fikiranku hanya tempat tidur tujuanku. Aku mahu rehat sepuasnya untuk kembali segar esok.
“Hah!” Aku hampir terlompat ke atas meja kopi di sudut tepi ruang tamu. Bagaikan terlihat hantu yang menyeramkan, degup jantung berdegup ke meter paling maksima. Apakah aku tidak mengunci pintu rumahku sendiri?
“Tolonglah bawa aku keluar dari sini!” Dia sudah bersedia dengan beg pakaian.
Dia merapatiku dan meruntun tanganku. Puas aku menarik dan cuba menjarakkan diri. Namun dia semacam orang hilang arah.
“Bagaimana kau masuk ke sini?” jelas suaraku kaget dan bergetar tidak keruan. Ah, ini masalah! Aku tidak mahu ditangkap bersamanya. Aku terbayang wajah suaminya yang garang. Bagaimana kalau sekejap lagi rombongan pegawai pencegah maksiat tiba?
“Beberapa kali aku tidur dengan tuan rumah. Hamid yang minta kerana nak langsaikan sewa rumah. Aku dapat curi kunci pendua rumah ni. Hamid tak tahu hal ini. Sudah lama aku rancang nak lari. Hamid dah cagarkan aku pada Ahlong. Tadi petang mereka datang kacau aku.” Gayah merayu simpatiku. Aku ternganga. Terkejut, hairan, buntu, takut, risau, cemas dan bimbang. Aku terkenangkan belaian manja isteriku. Aku terpandang tubuh ramping di depanku. Tatkala itu dadaku dipukul debar yang amat. Lekas-lekas aku ingatkan Allah.
Aku masih tersandar di dinding rumahku. Aku tidak pasti apakah tindakanku yang paling wajar. Semuanya serba tidak kena. Aku masih berfikir keras.
“Tolonglah!” Gayah terus mendesak. Dia merapatiku. Aku tolak dirinya. Aku jauhkan diriku. Aku memang mahu membantunya. Aku mengingatkan: dia tidak perlu menyerahkan diri kepadaku sebagaimana perempuan murahan. Gayah tertunduk malu. Wajahnya merah. Agaknya terkesan dengan kata-kataku.
“Kau telefon siapa?” Gayah kelihatan bimbang melihat aku menelefon seseorang. Agaknya dia fikir aku menghubungi Hamid. Aku enggan melayannya sehingga aku selesai bercakap melalui telefon.
“Baiklah, sekejap lagi polis akan tiba. Kau buat laporan dahulu. Polis akan bantumu. Hanya itu yang dapat aku tolong.”
Bulat mata Gayah menatapku. Entah apa di fikirannya. Mungkinkah dia mengharapkan lebih dari bantuan? Ya, kadang-kadang aku terperasan dari cara dia memandangku. Dia pernah berkata yang aku dan dia kalau berganding bagai pinang dibelah dua. Aku ketawa kerana menganggap dia memang suka bergurau, macam suaminya juga. Ah, aku tidak sanggup berbuat dosa biarpun dia sepuluh kali cantik daripada isteriku!
“Ini nombor telefon presiden Hak Wanita Malang. Mereka akan bantu kau sepenuhnya. Kau jangan bimbang.” Aku menghulurkan sekeping kertas bertulis nombor telefon semasa menghantarnya ke kereta polis.
Aku menghela nafas lega melihat kereta polis berlalu. Aku harap Gayah akan bertindak dengan bijak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan