SEJELITA DI HATI

INSAN BIASA Mengharapkan bahagia menumpahkan ilham yang dipinjamkan TUHAN di dada siber.

Sabtu, Jun 25, 2011

PROSES KREATIF JUTAWAN NASI LEMAK

 Seperti curahan air terjun, apabila berada di hadapan komputer, apabila masa kelapangan dan apabila suasana menjadi pemangkin idea, maka, jari-jemari ini menari mengikut rentak di minda dan berirama dengan hati dan naluri.

Begitulah gambaran betapa jodoh tempat, masa dan suasana bukanlah sentiasa berkumpul.  Jika bersatu, maka tercetuslah suatu hasil karya yang indah bak air terjun yang mendamaikan. Saya memulakan penulisan JUTAWAN NASI LEMAK ini bermula pada bulan Februari dan berakhir bulan MAC 2011.  namun, idea cerita ini sudah ada sebelum itu.  Jutawan nasi lemak adalah tajuk sebuah cerita pendek yang saya hantar ke satu pertandingan menulis sempena Hari Guru.  Namun, rezki tidak menyebelahi saya ketika itu walaupun khabarnya ia tersenarai juga sebagai karya pilihan di saringan akhir negeri.  Namun, juri mengesahkan bahawa karya saya menarik, tetapi mereka ada kriteria tertentu dalam pemilihan.



Dari sebuah cerpen, saya memanjangkan ia sebagai satu cerita panjang.  di dalam novel ini ada konflik yang saya kutip dari pengalaman-pengalaman sebenar kanak-kanak di sekeliling saya.  Saya sering berdepan dengan watak-watak Rahim Si Kaki Buli, Chong Beng Kawan yang suka jadi pengikut, Kannagi yang suka mengambil kesempatan dan Izwan yang penakut tetapi memberontak dalam diam.  Kanak-kanak terasa dunianya terlalu luas, dan sentiasa memerlukan sokongan kawan-kawan, guru dan keluarga.  Musnad adalah kanak-kanak biasa yang punya cita-cita hebat.  ada kala dia rendah diri, ada kala dia bersemangat dalam meneruskan hidup.  Semua orang di sekeliling Musnad memberi warna dalam kehidupannya.

Saya memilih nasi lemak sebagai bisnes keluarga Musnad kerana nasi lemak adalah satu bisnes yang amat mudah, tetapi sangat berpotensi sebagai bisnes di peringkat koporat.  Bisnes yang kecil boleh menjadi besar jika ada usaha yang berani, gigih, strategi dan keterbukaan dalam berbisnes.  Selain itu, doa dan tawakkal tetap perlu dalam menjalankan bisnes ini.  Semua resepi kejayaan ini ada dalam JUTAWAN NASI LEMAK melalui watak-watak seperti nenek, Puan Rugayah ibu Musnad dan juga penyokong-penyokong bisnes ini iaitu Cikgu Maisara, Cikgu Ramesh, Cikgu Shidi, Pak Kamal taukeh kantin dan semua yang biasa makan nasi lemak Musnad.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...